semua yang telah berlalu...semua yang akan berlaku.....

Thursday, July 20, 2006

institusi kekeluargaan

Institusi keluarga membentuk peribadi
Oleh: DR. MASHITAH IBRAHIM
DI kalangan institusi manusia, keluarga ialah kumpulan paling penting di mana seseorang memperoleh perasaan keahlian dan identiti.
Ia merupakan suasana pertama yang dilihat oleh seseorang setelah dilahirkan. Sebahagian besar masa kita juga banyak dihabiskan di kalangan keluarga.

Justeru, institusi keluarga memainkan peranan utama dalam membentuk peribadi seseorang. Ada banyak juga faktor-faktor yang mempengaruhi sikap, tabiat dan cara pemikiran seseorang seperti kawan, persekitaran dan media. Tetapi ramai yang bersetuju mengatakan keluarga adalah faktor paling kuat.

Keluarga merupakan inti masyarakat. Fungsinya tidak hanya terbatas untuk meneruskan keturunan sahaja. Dalam bidang pendidikan, keluarga merupakan sumber pendidikan utama kerana segala pengetahuan dan kecerdasan intelektual manusia diperoleh oleh kanak-kanak daripada orang tuanya dan ahli keluarganya.

Dalam institusi keluarga, peranan ibu bapa atau penjaga dalam pembentukan peribadi sejak perkembangannya yang paling awal adalah sangat penting dan sangat berpengaruh dalam menentukan pembentukan generasi seperti yang ditegaskan dalam hadis:

''Setiap anak dilahirkan suci fitrahnya dan kedua ibu bapanyalah yang bertanggungjawab menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi''.

Keluarga masa kini berbeza dengan keluarga zaman dahulu. Hari ini, keluarga mengalami pergolakan dan perubahan yang hebat, khususnya mereka yang hidup di kota. Cuba lihat keluarga-keluarga di daerah yang belum mengalami atau menikmati hasil kemajuan teknologi, industri dan sebagainya, kita akan dapati gambaran mengenai ikatan dan fungsi keluarga adalah jauh berbeza jika dibandingkan dengan yang berada di tengah-tengah kemewahan kebendaan.

Keluarga dahulu merupakan pengeluar dan pengguna sekali gus dan mereka mempersiap dan menyediakan segala keperluan sehari-hari.

Setiap anggota keluarga diperlukan dan saling memerlukan satu sama lain. Hasil kerja mereka dinikmati bersama. Yang jelas, keluarga zaman silam belum terkena pengaruh penggantian tenaga manusia dengan tenaga mesin. Fungsi keluarga sangat banyak dan ikatan kekeluargaan sangat penting dan kuat.

Semua anggota keluarga mempunyai peranan yang penting untuk disumbangkan kepada keluarga serta diperlukan oleh anggota yang lain.

Di era sekarang, institusi kekeluargaan sudah semakin hilang fungsi, erti dan peranannya. Peranan pendidikan sudah diambil alih oleh lembaga pendidikan seperti pihak pengurusan sekolah.

Ibu bapa semakin lepas tangan hingga merasakan ia adalah tanggungjawab sepenuh pihak sekolah hingga menyalahkan sekolah jika anak mereka gagal. Tugas orang tua dalam memperkembangkan intelek anak menjadi jauh lebih ringan.

Peralatan yang serba canggih dan moden menggantikan tenaga manusia dengan peralatan elektrik dan mesin sehingga tenaga manusia tidak lagi diperlukan.

Untuk mendapat pakaian baru tidak perlu menunggu ibu menjahit tetapi di mana-mana sahaja anak-anak boleh membelinya yang siap dan boleh terus dipakai.

Keluarga berfungsi selaku pengguna sahaja.

Dahulu, generasi kita mencari hiburan di rumah. Keluarga menyediakan pelbagai aktiviti berbentuk permainan dan hiburan untuk manfaat bersama.

Sekarang fungsi rekreasi berpindah ke luar rumah.

Anak-anak tidak senang bermain di rumah. Mereka rasa lebih selesa melepak di tepi-tepi kaki lima dari di rumah. Pasar raya, tempat hiburan berkom-puter, kafe siber dan kelab snuker dijadikan tempat pelepas lelah.

Tentunya hal seperti ini berlaku akibat berhubungan erat dengan keadaan rumah yang selalunya tidak memungkinkan penyediaan tempat bermain.

Begitu juga bagi ibu bapa, segala ketegangan tempat kerja bukan dilepaskan dengan pulang ke rumah tetapi di tempat khusus di luar rumah dari warong kopi, kelab malam, panggung wayang, tempat perjudian atau pusat karaoke.

Dulu tanggungjawab membesarkan keluarga adalah hak bersama bukan di bahu ibu atau bapa sahaja.

Keseluruhan ahli keluarga merasakan itu perlu dilakukan bersama. Kakak sulung rasa terpanggil dengan sendiri untuk mendodoikan adiknya.

Jika apa-apa terjadi pada kedua-dua ibu bapa, ada abang sulung yang sanggup mempertaruhkan kehidupan bujang untuk kebaikan adik-adik.

Di waktu hari raya dirasakan kesempatan untuk semua ahli menyumbang memasak menyediakan makanan. Kesempatan bersama ini tidak sanggup ditukar ganti dengan apa nilai sekalipun.

Dalam keluarga sekarang, lebih ramai yang senang menipu keluarga sendiri. Perniagaan berkongsi adik-beradik lebih memeritkan, kerana rasanya mempercayai orang lain lebih menguntungkan.

Ada beberapa kes di mana anak-anak sanggup mencagarkan tempat kediaman ibu bapa mereka demi perniagaan mereka. Bisnes lebih penting dari keluarga biarpun ia di hari raya.

Kalaupun pulang, ramai anak-anak yang masih merasakan itu tanggungjawab ibu bapa menyediakan makanan. Kalau ada pun mungkin anak perempuan yang keluarkan belanja dapur untuk ahli yang ramai ini.

Anak lelaki lebih senang bertanya makanan sahaja tanpa ada rasa tanggungjawab menyumbang.

Dalam keluarga dulu makanan yang paling sedap ialah masakan ibu. Makanan masakan rumah sentiasa dalam ingatan suami dan anak-anak.

Saudara mara yang berkunjung dirasakan sebagai rahmat dan mereka seronok saling bantu-membantu menyediakan makanan, tidur beramai biarpun tidak bertilam merupakan pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

Keluarga sekarang lebih senang makan masakan luar. Mama penat bekerja atau mungkin juga ramai yang sudah tidak pandai memasak.

Jarang sekali aktiviti makan bersama kerana ayah terpaksa memenuhi banyak jemputan makan malamnya, ibu perlu menyiapkan kertas kerja untuk pembentangan esoknya, abang sulung menghadiri parti hari jadi, cuma anak yang kecil disuapkan mi segera oleh pembantu rumah berbangsa Indonesia.

Saudara mara yang berkunjung dianggap sebagai tidak faham, tidak kena masa, mengganggu ketenteraman dan menyusahkan.

Anggota keluarga tidak lagi tempat yang bererti kerana ikatan saling memerlukan tidak lagi dirasai. Peranan keluarga menjadi sangat berkurangan dan erti keluarga dan ikatannya mengarah kepada kegawatan. Bahkan terdapat suara-suara sumbang mengatakan pembentukan keluarga tidak menguntungkan malahan sebaliknya, menambahkan bebanan hidup.

Tidak perlu lagi pada keluarga supaya aktiviti dan kebebasan tidak terhalang akibat daripada tanggungjawab keluarga.

Inilah pendapat yang akan mengelirukan masyarakat serta mengabaikan kesejahteraan masyarakat bersama.

Kesatuan keluarga tiada peranannya sebaliknya hidup secara individu lebih didambakan.

DR. MASHITAH IBRAHIM, Penolong Profesor, Jabatan al-Quran dan Sunnah, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tuesday, July 11, 2006

heheh's...passport daa siap lorr...

pg td..ke jbtn imgrsn kjg... amek no tiket 2088, then..amek passport !!!..
kejap je nk amek passport.. kaunter no. 8..haha... bln 8 ni.. aku 18 ..haha, asyik23 no. 8...